Sunday 9 February 2014

♥ DIPLOMATIK CINTA QUOTES ♥



DIPLOMATIK CINTA



Percaya atau tidak, ada ketikanya kita memerlukan seminit untuk tertarik kepada seseorang, satu jam untuk menyukai seseorang, satu hari untuk menyintai seseorang TETAPI mengambil masa seumur hidup untuk melupakan seseorang yang kita cintai.

Cinta itu bukan sekadar mengucapkan kata-kata 'I Love You' tetapi adalah lebih dari itu.  Dalam hubungan Cinta, kita perlu menjalinkan hubungan dua hala yang lebih akrab dan mesra. Kita mesti mengamalkan prinsip rundingan, keterbukaan dan kerjasama. Kita harus sentiasa mengekalkan hubungan Diplomatik yang baik antara hati dan jiwa.

GIVE AND TAKE!!!

Dengan itu, baru kita akan tahu betapa pentingnya DIPLOMATIK dalam Cinta 






Dari Malaysia ke Itali.... Di Colosseum bertemu jua





Saturday 8 February 2014

DIPLOMATIK CINTA - BAB 4


BAB 4


Qistina baru selesai bersarapan.  Nasi lemak sambal udang pemberian Jaja Hazani, kawannya  dari pejabat pertanian memang super sedap.  Walaupun Jaja Hazani memberitahu nasi lemak masakan dia tidak cukup bahan, namun bagi Qistina nasi lemak itu secukup rasa masin dan lemak.  Sambal udangnya pula memang pedas berdesing.  Tetapi sebagai anak penang, setakat pedas sambal udang masakan Jaja Hazani itu, memang biasa baginya.   Pendek kata nasi lemak masakan gadis itu hampir sama rasa dengan nasi lemak dekat gerai makcik Salmah di Putrajaya.  Gerai yang biasa dia singgah semasa dia bekerja di Putrajaya.

Pagi tadi Jaja Hazani ada mengajaknya bersarapan bersama-sama di pantry tetapi kesibukkan dia membuka email rasmi Kedutaan membuatkan dia tidak ada masa untuk turun ke pantry di tingkat satu pejabat. Selalunya mereka bersarapan bersama tetapi  sejak minggu lepas banyak surat dan dokumen penting yang Qistina kena selesaikan maka dia terpaksa bersarapan keseorang di dalam biliknya sendiri.  Selesai makan, Qistina membuang bungkusan nasi lemak daun pisang ke dalam tong sampah.

“Mana makcik ni dapat daun pisang ek.  Mesti dia ambil dekat belakang office ni” Qistina tersengih bila teringat yang Jaja Hazani paling menyampah bila dia memanggil gadis itu sebagai ‘makcik’. 

Qistina dan Jaja Hazani berkenalan ketika sama-sama melaporkan diri di Pejabat Kedutaan ini. Dia melapor diri sebagai pembantu khas Duta besar,  Dato’ Hashim Ahmad manakala Jaja Hazani bertugas sebagai pembantu khas Konsular pertanian, Dato’ Andelane. Sejak dari itu mereka bersahabat baik sementelahan masing-masing bertugas secara solo maka tiada ahli keluarga lain yang boleh bergantung harap. Hanya ada antara satu sama lain untuk menempuhi kehidupan sebagai anak perantau.

Selesai membuang bungkusan nasi lemak, Qistina melangkah ke dalam bilik air untuk mencuci tangan. Sebaik saja kepala pili dipulas, telefon di pejabatnya berdering.  Jarak antara bilik air dengan bilik pejabatnya hanya lima langkah memudahkan dia untuk mendengar setiap deringan telefon.

“Siapa pulak yang telefon ni” Qistina tertanya sendiri dalam hati. 

Qistina teragak-agak samada ingin berlari ke bilik untuk menjawab panggilan atau membasuh tangannya terlebih dahulu.  Akhirnya dia memutuskan untuk menjawab panggilan telefon.  Sebaik saja tangannya ingin mencapai gagang telefon, deringan terhenti.

“Hisy.. nak call tu cubalah lama sikit.  Ni baru aku nak angkat dah berhenti.” Qistina membebel perlahan.  Baru dia berkira-kira ingin bergerak semula ke bilik air, sekali lagi telefon berbunyi.  Tanpa menunggu, pantas Qistina mengangkat gagang telefon.

“Qis, bos kau mana?”.  Suara disebelah sana bersuara seperti berbisik-bisik.

“Yang kau berbisik ni dah kenapa Jaja? Sawan?” Qistina melepaskan ketawa. Suka benar dia mengusik Jaja Hazani.  Gadis itu akan cepat melenting bila diusik tetapi tak sampai beberapa minit dia sendiri yang ketawa perlahan.  Malu dengan sikap sendiri yang melenting tanpa sebab.

“Sawan pebenda.  Dato’ ada la.  Takkan kau nak suruh aku menjerit  sambil bercakap dengan kau”.  Qistina dapat mengagak rupa Jaja Hazani waktu sekarang.  Mesti merah padam!

“Bos kau mana?”

“Bos besar bercuti kat Malaysia.  Bos kecik pula meeting kat World Food Programme.  Kenapa?”  Qistina pelik dengan soalan Jaja Hazani.  Jarang benar gadis itu bertanyakan tentang bosnya.  Baik perihal Dato’ Hashim ataupun Anees Mardihah. 

“Takde apa.  Saja je aku tanya.  Aku cadang nak ajak kau lunch dekat Chicken hut halal nanti. Nak tak?”  Qistina termangu seketika di tempat duduknya.

Makan dekat Chicken hut?  Satu cadangan yang menarik ni, bisik hati kecil Qistina

"Eh Jaja, motif kau nak sebut Chicken Hut halal ni dah kenapa?  Macamlah aku tak tau Chicken Hut tu halal." Pertanyaan Qistina membuatkan Jaja Hazani tertawa. Qistina lucu mendengar ketawa Jaja Hazani yang perlahan.  Mungkin Jaja Hazani takut akan dengan Dato' Andelane.  Wanita serani yang berusia lima puluh lima tahun itu boleh tahan garang. 'Wanita Kuku Besi', gelaran yang diberikan oleh Jaja Hazani untuk ketuanya itu. 

Jaja Hazani masih ketawa.  Tetapi ketawanya tersekat-sekat.  Macam nak kentut tetapi tak lepas, Qistina berkata perlahan. Menyedari keterlanjurannya menyamakan ketawa Jaja Hazani umpama kentut tidak lepas, Qistina pantas menempuk mulutnya. Aduh! mulut takde insuran.  Kalau Jaja dengar ni mesti kecil hati, Qistina dihimpit rasa bersalah namun dia pasti Jaja Hazani tidak mendengar kata-katanya.  

"Nak tak Qis?" Jaja Hazani disebelah talian mengharapkan jawapan.

Dia memang terasa hendak keluar makan di luar setelah sekian lama tidak makan Restoran Chicken Hut.  Ini gara-gara suhu yang terlalu sejuk maka dia malas hendak keluar.  Mana nak sarung winter coat yang tebal dan perlu lengkap bersarung tangan.  Memang mengundang susah! 

Tambahan lagi bila memikirkan banyak surat yang perlu ditaip, Qistina dapat rasakan yang dia pasti tidak cukup masa untuk keluar makan tengahari di luar dan pulang semula ke pejabat dengan segera.  Jarak antara pejabat kedutaan ke Restoran Chicken Hut lebih kurang 500 meter.  Perjalanan pergi dan balik mengambil masa setengah jam jika berjalan kaki.  Huh! Banyak masa terbuang.  Aku banyak kerja pula ni, bisik hati Qistina.

“Eh! Kau ni Ja.  Kan pagi tadi kita baru bedal nasi lemak takkan nak makan ayam goreng pulak.  Gemok la weii.  Kata nak diet.” Qistina cuba memujuk Jaja Hazani untuk membatalkan hasratnya untuk makan di luar.

“Tak perlu nak diet sangat Qis.  Jadi tembam ni comel apa.” Kata-kata Jaja Hazani mengejutkan Qistina. 

Tembam itu comel? Eh! Aku salah dengar ke. Bukan ke selama ni Jaja ni takut gemuk. Takut tak dapat setanding dengan anak gadis Italian yang kurus dan cantik. Kerap juga Jaja Hazani melahirkan perasaan bersalah  setiap kali makan banyak. Qistina keliru dengan perangai kawannya sorang ni.  Sekejap beria-ia nak kurus, sekejap tidak kisah pulak bila jadi gemuk.  Haih!! Sakit apa budak ni, Qistian meneka dalam hati.

“Ala Qis, jom la.  Kalau kau tak mahu makan, kau temanlah aku makan ek.”  Qistina termakan pujuk.  Permintaan Jaja Hazani memang tidak dapat ditolak.

Jaja Hazani sajalah kawan yang dia paling rapat di pejabat ini.  Home Based Staff yang lain semuanya sudah berkeluarga. Dia dan Jaja Hazani yang masih single dan belum berkahwin lagi.  Kalau kemana-mana, mereka sering berdua.

“Baiklah.  Aku teman kau makan, tapi kau je makan ok.  Aku dah kenyang.”  Sebaik menyatakan persetujuan.  Qistina meletakkan gagang telefon.  Qistina memerhati jam di tangan.  Lagi setengah jam pukul sebelas pagi.  Ini bermakna ada lagi 2 jam untuk dia menyudahkan semua urusan surat menyurat yang tertangguh.   Cepat-cepat dia melangkah ke bilik air untuk membasuh tangan.  Surat yang diterima harus di daftarkan.

“Qis, kita dah dapat reply Third Person Note dari Italian Ministry of Foreign Affairs?”  Soalan Anees Mardihah dimuka pintu bilik membelakangnya mengejutkan Qistina.  Hampir-hampir dia melatah.  Anees Mardihah entah dari mana, tiba-tiba menegurnya.

“Ya Allah Cik Anees, terperanjat saya tau”

“Eh! Awak terkejut ya? Sorry.. sorry.. saya cuma nak tau nota diplomatik yang kita  hantar hari tu dah dapat maklum balas atau belum?”  Qistina termangu.  Agak terkeliru dengan soalan Anees Mardihah.

Third person note yang mana satu ya Cik Anees? Qistina menyoal tanda tidak pasti dokumen apa yang diminta oleh Anees Mardihah.
 
“Awak tak ingat Qis?”

Qistina laju menggelengkan kepalanya.

Anees Mardihah geram.  Tangannya pantas menepuk bahu Qistina.

Third person note tentang permohonan permit melakukan pengambaran Syarikat Penerbitan filem Prima Production tu la Qistina oii.”  Qistina tersengih, menyedari sikapnya yang pelupa.

“Tu tak abis-abis teringatkan tunang kat Malaysia la tu.  Ataupun banyak sangat makan nasi lemakkan?”.  Qistina tergelak dengan usikan Anees Mardihah.  Dia tau pegawainya itu sedang bergurau.   Sesaat kemudian dia tersedar akan sesuatu.  Alamak! Mana cik Anees tahu aku makan nasi lemak ni, Qistina tertanya dalam hati.

“Saya pun dapat sebungkus dari Jaja.”  Anees Mardihah memberitahu bila melihat muka Qistina yang penuh tanda tanya.   Qistina mengangguk-angukkan kepalanya.  Jaja Hazani memang seorang yang pemurah. Habis semua kakitangan di pejabat ini akan merasa masakannya. Kalau akulah, sumpah tak pandai masak! Qistina tersengih. Dia sedar akan kekurangan diri sendiri. Kalau bab masak-memasak dalam jumlah yang banyak memang dia yakin seratus peratus akan gagal.

“Tersengih pulak dia.  Qistina, kita sudah dapat maklum balas dari Italian Ministry of Foreign Affairs tak?” Anees Mardihah geram dengan sikap kuat berangan Qistina. Sempat lagi kau berangan sambil tersengih-sengih ya, bisik hati Anees Mardihah.  Sengihan Qistina mati. Dari tempatnya berdiri, dia melihat Qistina kelam kabut mencari sesuatu sebelum menghulurkan satu surat kepadanya.

“Kita dah terima reply daripada Ministry of Foreign Affairs dah Cik Anees.  Mereka dah luluskan permit melakukan pengambaran kepada Prima Production house tu.”  Terang Qistina penuh yakin.. Anees Mardihah mengangguk tanda faham.

“Ok.  Sekarang awak balas email Prima Production house cakap kepada mereka yang Italian Ministry of Foreign Affairs dah luluskan permohonan permit melakukan pengambaran mereka disini. “ Qistina mencapai buku nota untuk mecatat arahan yang diberikan oleh pegawainya itu.

“Lagi satu Qis, maklumkan juga kepada mereka supaya menyenarai penuh semua equipment pengambaran yang akan mereka bawa kesini dan serahkan semua detail tersebut kepada kita dan satu lagi salinan ke kastam.  Saya tidak mahu ada sebarang masalah berlaku last minutes bila delagasi dari Malaysia sampai ke sini.  Awak draft dulu dan bagi saya tengok sebelum awak hantar kepada mereka.”  Qistina mengagguk-angguk kepala tanda faham arahan Anees Mardihah.

“Baik Cik Anees. Ada apa-apa lagi Cik Anees?

“Belanja saya makan tengahari ni sebab awak suka sangat terlupa”. Qistina terpinga-pinga dengan permintaan ketuanya itu.  Jarang benar pegawainya itu minta di belanja makan, sekarang ni secara tiba-tiba Anees Mardiha meminta. Pelik!

Anees Mardihah tertawa perlahan. Matanya yang bundar menjadi kecil bila dia tertawa. Comel! 

“Saya gurau je la Qis.  Dah! Siapkan keje awak tu cepat.  Nanti pelakon pujaan awak tu, eh! siapa nama dia ya? Hah! Shawn Adli tak dapat nak datang kalau awak lambat buat keje.”  Anees Mardihah menyambung cakapnya.  Ketawanya masih bersisa melihat muka ‘blur’ Qistina.

“Eh! Boleh je cik Anees kalau nak makan tengahari karang.  Saya memang plan nak makan dengan  Jaja dekat Chicken hut.  Saya belanja ok?”  Qistina menaikkan ibu jarinya tanda bagus.  Apa maksudnya Qistina sampai perlu menaikkan  ibu jari, Anees Mardihah tidak pasti.

Anees Mardihah tersenyum melihat kesungguhan Qistina.  Selalu juga anak gadis itu mengajaknya makan tengahari bersama-sama cuma dia terlalu sibuk dengan urusan kerja.  Lagipun, setiap hari dia membawa bekal ke pejabat dan lebih selesa makan di biliknya sendiri.  Pagi-pagi dia mesti menyediakan sarapan dan lunch box untuk Danish Haykal, buah hatinya untuk dibawa ke sekolah.

“Tidak mengapa Qis. Lain kali ok.  Saya agak sibuk hari ini. By the way, terima kasih banyak-banyak di atas pelawaan.” Anees Mardihah menolak ajakan Qistina dengan sopan.  Dia menghadiahkan senyuman paling manis disamping mengharapkan gadis itu memahami keadaan dirinya.

“Baiklah cik Anees.  Kita lunch sama-sama lain kali ok. Promise?”

Promise!  bisik Anees Mardihah perlahan sambil menganggukkan kepalanya.  Sebaik berkata, pantas dia melangkah keluar dari bilik Qistina.  Tiba-tiba dia rindukan satu-satunya anak lelaki kesayangan, Danish Haykal. Tidak sabar untuk bertemu dengan cinta hatinya balik dari pejabat nanti.


“Ibu rindu Haykal.” Bisik Anees Mardihah perlahan. 



-Bersambung-

Tuesday 28 January 2014

DIPLOMATIK CINTA BAB 3


BAB 3


“Congratulation bro!.”

Syamsul Adli melemparkan senyuman mesra kepada Hazwan yang berdiri berhadapan dengannya.  Lelaki berkulit agak gelap dan berkaca mata itu dipandang. Hazwan merupakan wartawan hiburan yang sangat friendly tetapi penuh dengan skill dalam bertanyakan soalan-soalan maut.  Sehinggakan dia dikenali sebagai wartawan kontroversi.  

“Terima kasih bang.”

Syamsul Adli menghalakan padangannya ke arah para jemputan yang berpusu-pusu keluar dari dewan yang sederhana besar. Baru tadi selesai sidang media untuk filem terbarunya arahan pengarah terkenal tanah air Soffian Manan atau lebih dikenali sebagai Mat Pian dikalangan rakan artis yang lain. Filem genre romantik yang bakal menjalankan pengambaran di kota sejarah Rome, Italy memang memakan perbelanjaan yang bukan sikit. Peluang yang diberikan oleh pihak penerbit dan bekerja di bawah arahan pengarah yang berbakat ini memang tidak akan disia-siakan sewenangnya.

“Kau memang sesuai dengan watak ni Adli. Aku yakin filem ni akan meletop macam filem Rapuhnya kasihmu yang lepas.” Hazwan menepuk mesra bahu Syamsul Adli. Lelaki  berperwatakan pendiam ketika baru-baru terjun ke dalam dunia seni, kini telah menjadi ramah walaupun masih lagi dengan sikap perahsianya. Satu sikap Syamsul Adli yang paling dia kagum adalah sikap rendah diri anak muda itu. Syamsul Adli tidak hanyut dengan populariti yang diperolehinya.  Jejaka itu tidak lemas dengan perhatian dan tumpuan yang diberikan.  Anak muda itu terlalu merendah diri. Selalu merasakan dirinya tidak dikenali ramai. Kau terlalu merendah diri Syamsul Adli, so naive! Hazwan berbisik perlahan. Dia yakin Syamsul Adli tidak pasti apa yang dibisikkannya. 

“Dah rezeki saya, bang. Alhamdulillah saya bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan kepada saya” Balas Syamsul Adli ringkas sambil membalas tepukan mesra Hazwan dan memandang wajah wartawan itu yang masih lagi tersenyum.  Baginya, apa saja yang diperolehinya kini adalah rezeki dari Allah S.W.T. Rezeki yang Allah S.W.T sudah tuliskan di dalam perjalanan hidupnya.

‘We get some, we lose some’ bak kata pepatah English.

Dia pernah merasa kehilangan.  Dia pernah merasa hidup yang susah. Kini berkat kesabaran dan doa yang tidak putus-putus dari ummi dan abahnya, dia dikurniakan kehidupan yang agak senang.  Dia mampu hidup di atas usahanya sendiri.  Syamsul Adli kini bukanlah Syamsul Adli yang dulu yang lemah dan kurang bersemangat terhadap hidup.  

“Aku rasa watak kau kali ini agak mencabarkan Adli. Banyak melibatkan permainan emosi. Jangan kau jatuh cinta dengan heroin kau sudahlah. Airin Alwani tu boleh tahan hot!”Hazwan melepaskan ketawa setiap kali teringatkan artis wanita yang seksi itu.

Fikiran Syamsul Adli ligat berputar. Dia tahu apa yang dimaksudkan oleh Hazwan.  Sejak terjun ke dunia seni ini dua tahun lalu, tiada sebarang kontroversi yang melibatkan dirinya.  Namun sejak muncul kali pertama di dalam filem bersama-sama pelakon Airin Alwani, dirinya sering dikaitkan dengan pelakon kacukan yang seksi maut itu.

Seksi macam Malaysia ni tak cukup kain! Ummi tak nak menantu macam tu. Syamsul Adli tersenyum.  Dia teringat dengan komen Puan Adawiyah terhadap pelakon yang digandingkan bersama-sama di dalam filem Rapuhnya Kasihmu. .

“Kau senyum kenapa?  Suka ke dengan Airin Alwani tu”

Wajah Syamsul Adli tiba-tiba berubah.  Merah padam mukanya. Mata Syamsul Adli  tidak berkelip-kelip memandang Hazwan. Kenapa aku tersenyum pulak ni, maut sungguh, bisik hati kecil Syamsul Adli.  Bimbang sekiranya wartawan kontroversi itu salah faham.

“Adli, aku tak tau la kau ni tahu ke atau berpura-pura tidak tahu. Industri hiburan Malaysia ni kecil bro. Airin tu memang ada hati dengan kau. Senyuman dia tu lebar je setiap kali berjumpa dengan kau. Tapi aku pelik la dengan kau ni, sikit punya cun melecun manusia ciptaan Allah tu tapi kau lansung tak suka.” Syamsul Adli terdiam. Dia cuba mencari jawapan yang paling bernas untuk menjawab soalan Hazwan. Sehingga kini dia kekal membujang.  Kerana status selebriti yang disandang, ramai peminat suka memadankan dia dengan orang itu dan orang ini. Siapa dia untuk melarang walaupun sesekali timbul perasaan rimas.  Dia tidak suka mencampur aduk antara soal kerjaya dan peribadi.

“Ke kau ni cik gayah bro?”

Syamsul Adli tersentak. Perasaan jengkel mula menebal di dalam diri Syamsul Adli. Muka Hazwan dipandangnya. Huh! Tidak habis-habis nak korek rahsia aku, desis hati Syamsul Adli.

“Eh! Astagfirullahalazim abang ni. Janganlah cakap macam tu dengan saya. Saya ni lelaki straight tau.  Cuma masih belum ada jodoh. Bukan ke cinta itu rahsia hati dan hati serta jodoh itu rahsia Allah S.W.T. Sampai masanya nanti, akan ada jodoh terbaik buat saya.” Syamsul Adli mengeluh perlahan.

Terdengar keluhan lelaki itu, Hazwan rasa bersalah. Dia tahu dia sudah melampaui batas. Perlahan-lahan dia menepuk bahu Syamsul Adli.

“Aku bergurau je dengan kau.  Jangan ambil hati”

Syamsul Adli tersenyum. Pandai pulak wartawan ni sensasi ni minta maaf, detik hatinya.  Dia kenal siapa Hazwan. Bukan dia tak tau taktik pengorek rahsia yang ada dalam diri Hazwan. Pandai mengorek rahsia orang. Kalau tidak berhati-hati memang rahsia tu akan menjadi tajuk utama majalah hiburan kendaliannya.

Namun Syamsul Adli tidak salahkan Hazwan. Memang sudah menjadi tugasan Hazwan sebagai wartawan hiburan. Mereka sentiasa dahagakan cerita-cerita panas artis yang boleh dijadikan berita utama.  Janji dapat melariskan majalah mereka, segala usaha mengorek cerita harus dijalankan.  

“Saya tidak ambil hati la bang.  Dengan status saya yang membujang ni memang saya tahu akan ramai yang tertanya-tanya status diri saya ni.  Orang kata apa, kalau tak nak rahsia diri dikorek, jangan nak berangan jadi artis?” Lelaki itu ketawa. Nyata  ayat penyata daripada Syamsul Adli menggelikan hatinya.

“Sudah kerja aku bro. Mengorek dan mencari apa yang sensasi. Tambahan untuk artis macam kau ni. Lagilah aku nak tau luar dan dalam. Adli, kau tu artis terkenal. Bujang dan kacak. Sesiapa pun pasti menanti semua cerita tentang kau.”  Syamsul Adli  menoleh sekilas pada Hazwan dan sempat melemparkan senyuman.

“Tapi itulah, kau terlalu berahsia. Kau ni tak ada ke wanita bertuah dalam hati kau tu? Share la dengan aku” perlahan sekali suara Hazwan. Seperti berbisik-bisik.

Wanita bertuah dalam hati? Ada ke? Dua tahun terhumban dalam kekalutan perasaan yang memeritkan, bagaimana aku mahu mempunyai seorang wanita pun yang istimewa di dalam hati ini. Tidak mungkin. 

Syamsul Adli diburu kenangan silam.  

“Maafkan saya, boleh tak saya duduk disini?”. Syamsul Adli mendongakkan kepala memandang wajah di hadapannya itu. Dia termangu. Soalan gadis itu yang seperti berbisik tidak mampu dijawab. Kali pertama mendengar suara merdu sang gadis membuatkan Syamsul Adli terpana. Sumpah! Dia tertawan. Dia terleka menatapi seraut  wajah itu.

Di dalam perpustakaan tidak dibenarkan bercakap nanti tak pasal-pasal kena halau oleh ketua perpustakawan yang bertugas terutama Cik Ameera.  Dia terkenal di Maktab Rendah Sains Mara Taiping ini dengan sikap yang serius dan tegas. Bukan tegas tapi lebih tepat dikatakan garang.

Gadis itu masih merenungnya memohon untuk kebenaran untuk duduk. Dalam waktu yang sama matanya liar memandang sekeliling untuk mencari kalau-kalau ada tempat duduk yang kosong di dalam perpustakaan ini. Mungkin gadis ini risau dia tidak memberi kebenaran untuk duduk.

“Hai, saya Syamsul Adli” Sapa Syamsul Adli lantas menghulurkan tangan untuk bersalam. Tindakan tanpa sedar. Gadis tersebut terpinga-pinga memandang wajahnya dengan tidak berkedip sebelum tersenyum.

“Saya tidak tanya pun nama awak. Saya cuma tanya, boleh atau tidak saya duduk disini. Kalau tak boleh tidak mengapa la. Hah! Dekat sana ada satu kerusi kosong. Terima kasih ya”.  Jawapan bersahaja dari gadis itu membuatkan Syamsul Adli seperti mahu menghantukkan kepalanya ke meja.

Alamak! Malunya. Belum sempat dia menahan, gadis itu sudah berlalu pergi tetapi perasaan malunya masih ada. Maunya tak malu, angin tidak ada, ribut pun tidak ada tetiba dia memperkenalkan dirinya. Kemaruk ke apa?.

Lima tahun dalam perhubungan, dua tahun ditinggalkan.  Syamsul benar-benar sengsara. 

Begitu payah untuk aku bangun daripada kekecewaan ini, bagaimana aku ingin benarkan hati aku ini bakal disakiti sekali lagi. Aku tidak akan benarkan sesiapa pun menghuni apatah lagi memiliki hati ini. Tidak mungkin. Syamsul Adli bermonolog dalam diri.

“Hei Adli, kau dengar tak apa aku tanya ni, kau dengar tak?”  Hazwan memang tidak pernah jemu.  Ada saja cara untuk dia mendapatkan cerita daripada Syamsul Adli.

“Ada. Sebenarnya ada bang. Saya sayang kedua-duanya.” Syamsul Adli tersenyum memandang Hazwan yang nyata jelas terkejut dengan jawapan balas darinya. Mata Hazwan mencerlung tidak berkerdip memandang tepat ke wajah Syamsul Adli.

“Kau biar betul? Sampai dua orang sekali bro. Ini memang berita sensasi dan hebat ni” Hazwan memang wartawan sensasi. Mendengar jawapan tidak tepatnya itu membuatkan lelaki itu kelam kabut mengeluarkan nota kecilnya untuk mencatat maklumat yang baru didengarnya.

“Abang jangan nak sensasi sangat bang. Wanita kesayangan saya tu ibu dan adik perempuan saya la”. Mendengar jawapan bersahaja Syamsul Adli membuatkan gerakan Hazwan terhenti lalu tangannya pantas menampar belakang Syamsul Adli. Tindakan spontan dari Hazwan membuatkan Syamsul Adli ketawa perlahan. Suka hatinya dapat mempermainkan Hazwan.

Rasakan! Selama ni kau je asyik ‘trap’ artis dengan soalan maut kau. Bisik hati Syamsul Adli. Dua tahun berkecimpung dalam dunia seni ini, banyak asam garam sebagai anak wayang telah dilaluinya. Nyata permainan trapped daripada Hazwan telah berjaya dielak. Dia tidak sanggup berhadapan dengan provokasi wartawan yang sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan bahan berita. Syamsul Adli sudah terlalu masak dengan permainan golongan yang mementingkan diri sendiri.  Walaupun dikira masih mentah, banyak pengalaman yang telah diperolehinya.

Namun begitu, Syamsul Adli tidak pernah kesal untuk terjun ke dalam bidang seni ini.  Malah dia bersyukur dengan apa yang dimiliki sekarang.  Dulu ketika masih bekerja sebagai juruteknik di kilang Bosea, dia selalu kesempitan duit. Sebahagian daripada gajinya diserahkan kepada Puan Adawiyah. Manakala sebahagian lagi untuk dirinya sendiri. Seboleh-bolehnya dia akan cuba untuk berjimat-cermat dan berbelanja ala kadar sahaja mengikut keperluan harian.

Di dalam hatinya cuma ada satu impian.  Dia ingin mengumpul duit bagi menyambung pelajaran yang pernah terkandas dulu. Cita-citanya ingin menjadi seorang jurutera yang berjaya.  Impiannya ingin berjaya dalam hidup dan membahagiakan keluarganya.

“Aina suka tengok mata Adli! Cantik sangat.”  Ainaa Maisarah gemar memuji Syamsul Adli.  Sejak dari zaman sekolah sehinggalah ke Universiti memang itu yang kerap di ulang oleh gadis itu.  Bila ditanya apa yang membuatkan gadis itu jatuh cinta pada dirinya.  Jawapannya tidak pernah berubah.  Pasti gadis itu menjawab, mata yang menawan.

“Adli pula suka tengok pipi gebu Ainaa.. tembam!”  Syamsul Adli pasti ketawa mengekek setiap kali usikan darinya dibalas dengan cubitan.  Bila tidak dapat mencubit, gadis itu mesti berubah wajah  jadi masam mencuka dan mencebikkan bibirnya.  Tanda tidak berpuas hati.

“Adli sayang Aina?”  Soal gadis itu tidak pernah jemu setiap kali pertemuan mereka.  Setiap kali ditanya, setiap kali itu Syamsul Adli mengangguk tanpa jemu.
 
“Banyak mana?”

“The day I met you, my life changed.  The way you make me feel is hard to explain.  You make me smile in a special kind of way.  You make me fall deeper in love everyday, sayang.  You are so special to me”.  Gadis itu tertunduk malu.  Sumpah! Dia tidak pernah menipu.  Memang gadis itu sangat istimewa buatnya dan gadis  itu menjadi kesayangannya.

Syamsul Adli mengeluh.

Argh! Semakin dicuba untuk melupakan sebaris nama itu, semakin berlumba-lumba nama itu masuk di dalam fikiran dan ingatannya. Kenapa begitu sukar melupakan nama itu. Perempuan ini yang menyebabkan hidupnya sengsara. Perempuan ini jugalah yang membuatkan hidupnya serba tidak kena.

Mana mungkin dia dapat memaafkan gadis itu. Kenangan silam masih berbekas di dalam hati, menusuk pedih jiwa dan raga. Tujuh tahun bukanlah satu jangka masa pendek untuk melupakan seseorang. Aina Maisara terlampau sukar untuk dilupakan. Gadis itu cinta pertamanya malah gadis tersebut adalah cinta pandang pertama. Namun Syamsul Adli memaksa dirinya menerima hakikat kehidupan.  Menyesali apa yang tidak terjadi bukanlah satu pilihan yang bijak untuk meneruskan kehidupan.  Perlahan-lahan dia bangun kembali dari gaung kekecewaan itu, mencari diri dan menganalisa apa yang kurang.

“Kau ni kan Adli, kalau tidak bergurau memang tak sah.  Tapi tak mengapala, aku faham. Ini soal peribadi kau. Mungkin kau masih tidak bersedia berkongsi.  Nanti dah bersedia, jangan lupa contact aku ok.” Syamsul Adli terpinga-pinga.  Dengan tepukan dibahu kanannya mengembalikan Syamsul Adli ke alam realiti.  Itulah dia, setiap kali teringat peristiwa lama pasti dia akan termenung panjang.

“Shawn, shall we go now?”  Entah dari mana,  Rose Camelia muncul bersama Azman dan Arif.  Setelah bersalam dengan Hazwan, Syamsul Adli cepat-cepat meminta diri.

“You tak perlu nak layan sangat Hazwan tu.  Nanti dia perangkap you dengan macam-macam soalan.  Macamlah you tak tahu kerja wartawan ni.  Ada yang baik tu, baik sangat! Kalau dapat yang jahat tu, Ya Allah! I rasa nak siku-sikukan je.”  Syamsul Adli tersentak.  Boleh tahan garang pengurusnya ini.

Perlahan-lahan Syamsul Adli mengangguk. Langkahnya diatur perlahan.

“Tunggu apa lagi Shawn? Cepatlah!” Rose Camelia menarik lengan Syamsul Adli untuk bergerak pantas. Walau sudah ditarik, namun langkah Syamsul Adli masih berat. Rose Camelia mendengus perlahan melihat gelagat Syamsul Adli.

Mesti ada tak kena ni! Apalah Hazwan ni tanya sampai mamat ni jadi pasif, detik hati Rose Camelia.




- Bersambung -


Tuesday 21 January 2014

DIPLOMATIK CINTA - BAB 2


BAB 2


“Shawn Adli, you ada kat mana ni?” Rose Camelia cepat-cepat bersuara sebaik saja panggilan telefonnya dijawab.

Mujur lelaki ini mahu menjawab panggilan, buatnya dia terus matikan telefon bimbit dia dan terus tidak dapat dihubungi. Lagi haru dibuatnya. Bagaimana dia hendak menjawab dengan wartawan yang diundang nanti. Kalut dibuatnya dek artis seorang ini.

“Sorry Lia, I tertidur. Semalam pengambaran habis lewat sangat. I ada baca message you malam tadi tapi mengantuk sangat la.  Terlajak tidur. Sorry ya” Suara disebelah talian sana membuat rayuan.

Rose Camelia yakin, wajah pemilik suara yang digelarnya Shawn Adli tengah ‘cute’ tersenyum memohon simpati. Rose Camelia tersenyum tanpa sebab. Dengan suara ala-ala manja jejaka di dalam talian, membuatkan dia tidak jadi marah.

Shawn Adli mesti penat. Sebagai seorang artis yang baru meningkat naik, jadual kerja Shawn Adli memang padat. Sentiasa penuh dengan aktiviti lakonan dan nyanyian sehingga hujung tahun. Tiada ruang buat lelaki itu untuk bersukaria atau bebas kemana sahaja seperti yang dia nikmati ketika bekerja di kilang dulu.

Sebagai pengurus peribadi artis baru popular itu, dia yang menjaga hal ehwal kerjaya Shawn Adli. Dia tahu betapa penuhnya jadual yang telah diaturkan untuk sepanjang tahun. Dia bukan ingin mendera jejaka itu. Tetapi ini semua adalah demi perkembangan kerjaya untuk Shawn Adli.

Rose Camelia tidak mahu melihat Shawn Adli jatuh tersungkur lagi.  Baginya, lelaki itu sudah terlalu banyak menderita semasa bekerja kilang dahulu. Ini takdir Shawn Adli.  Ini kerjaya yang dipilih olehnya untuk lelaki itu. Shawn Adli mempunyai bakat dan seharusnya bakat itu perlu dikembangkan.  Ketika mula-mula bergelar anak seni, betapa peritnya lelaki itu ‘menjual’ bakat yang dia ada.  Ditipu dan dipermainkan sudah menjadi lumrah oleh lelaki itu sebelum mencapai tahap sekarang. Rose Camelia tahu apa yang dilalui oleh Shawn Adli sebelum berjaya menjadi artis yang serba boleh.

Diawal kemunculan Shawn Adli di dalam dunia seni Malaysia, dia hanya dikenali sebagai penyanyi.  Shawn Adli mempertaruhkan suaranya untuk dikenali di mata pengiat seni tanah air.  Setelah berjaya dengan dua album, kini dia  melangkah setapak lagi dengan bergelar seorang pelakon.

Tidak dinafikan bakat yang dimiliki oleh Shawn Adli amat luar biasa. Segalanya bagaikan ‘pakej’ lengkap. Memiliki seraut wajah tampan, ketinggian umpama seorang peragawan, suara yang sedap malah bakat lakonan yang ditonjolkan baru-baru ini mengagumkan ramai producer drama dan filem. Sebagai pendatang baru, bakat yang dimiliki oleh Shawn adli memang menjadi perhatian. Lakonan yang mantap membuatkan dia sentiasa menjadi rebutan. Ah! Sudah rezeki dia. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

“Lia, you dengar tak I tanya ni. Dekat mana I nak tunggu you ni”. Suara sebelah sana menyoal membuatkan Rose Camelia kembali ke realiti. Mengelamun tak sudah-sudah, marah Rose Camelia kepada dirinya sendiri.
 
“Bila you dah sampai basement 2 nanti, You tunggu je dalam kereta Shawn, I ambil you.  Arif dan Azman akan join I sekali. Kalau you keluar sorang-sorang karang mau ada yang kidnap you bawa pergi masjid”. Rose Camelia mengusik lelaki itu yang dari tadi menungggu jawapan darinya.

“Motif nak kidnap bawak pegi masjid”. Ternyata gurauan Rose Camelia dipandang serious oleh Shawn Adli. Kalau tidak, masakan lelaki itu bertanya dengan nada tegas. Rose Camelia menggeleng kepala sambil tersenyum. Bendul juga lelaki pujaan ramai ini.

Kidnap untuk dijadikan suami la. Siapa yang tak nak bersuamikan Shawn Adli. Artis Malaysia popular yang kacak dan mempunyai suara yang lemak merdu.”  Terdengar ketawa mengekek dihujung talian.

“Hah! sudah.  You jangan nak perasan sangat. Cepat sikit sampai sini. Sidang akhbar tu bermula pukul 2 petang. Kalau you lambat, nanti tak pasal-pasal I kena marah. Pengurus peribadi tak pandai jaga artis la, pengurus peribadi lembab buat kerja la. Ha.. I juga yang kena bukannya you. Cepat sikit Encik Shawn Adli." Sekali lagi Rose Camelia memberi arahan berbaur tegas tetapi masih ada nada usikan di hujung ayat.

“Ouch! Tersentap hati kita. Ok la.. I’m on my way right now my dear manager”. Lelaki itu memutuskan panggilan telefon sebaik saja membalas gurauan pengurus peribadinya.

Rose Camelia tersenyum. Entah kenapa dia berharap layanan mesra yang ditunjukkan oleh Shawn Adli akan kekal sampai bila-bila. Dia senang dan gembira setiap kali berada disisi jejaka itu. Lelaki itu memang ingin di dampinginya sejak dulu. Sejak di Universiti lagi. 

Sambil bersandar semula di kerusi, penglihatan Rose Camelia tertumpu kepada meja utama dimana sidang media untuk filem ‘Mia Amore ’ akan berlansung sejam lagi. Filem yang mendapat liputan meluas ini akan membariskan Shawn Adli sebagai peneraju utama disamping pelakon berimej seksi Zairin Elwani yang memang terkenal dengan bakat lakonan yang mantap sebagai heroin.

Rose Camelia yakin filem ini bakal hits sebagaimana filem yang dilakonkan oleh Shawn Adli sebelum-sebelum ini.  Tetapi mengenangkan sikap gedik Zairin Elwani membuatkan hatinya meluat.  Dengan tiba-tiba dia rasa tekaknya mual, bagai hendak termuntah hijau.  

“Huh! Takde heroin lain ke? Balik-balik si gedik tu jugak yang dipilih. Menyampah aku. Dah la tak habis-habis nak menggoda Shawn. Eii… nak je aku siku-siku kan si  gedik ni tau”. Rose Camelia membebel di dalam hati.

Dia sememangnya tidak berpuas hati dengan pelakon wanita yang cukup terkenal dengan imej seksi itu. Perwatakan pelakon itu yang manja ala-ala kucing parsi merisaukan hatinya. Kalau pengambaran filem ini berlansung dalam tempoh yang lama, habislah aku! bisik hati kecil Rose Camelia.

Rose Camelia bimbang jejaka pujaan hatinya itu akan tertawan.  Mungkin tidak akan tertawan sekarang tetapi lama kelamaan bila sering disogokkan dengan senyuman yang manis dan tutur kata yang lemah lembut, siapa saja pun akan tergoda.

Rose Camelia masih ingat lagi dengan kenyataan terbuka Zairin Elwani yang tidak segan silu menjawab soalan wartawan tentang perasaannya terhadap Shawn Adli. Kemain lagi dia meluahkan perasaan suka dan minatnya kepada lelaki tersebut. Seperti tidak kisah lansung reputasinya sebagai pelakon wanita popular akan terjejas.

Macam kan dah takde lelaki lain di dalam dunia ni, balik-balik Shawn Adli juga yang kau pilih ya.  Gedik! dengus Rose Camelia. Rose Camelia yakin pertemuan yang akan berlansung sebentar saja lagi dengan pelakon wanita itu pasti mengundang satu rasa yang kurang selesa buat dirinya. Dia dapat rasakan pasti akan wujud persaingan antaranya dan Zairin Elwani di dalam pertandingan merebut sekeping hati milik Syamsul Adli.

Aku tidak akan kalah. Not even now or later, tekad Rose Camelia sambil senyuman.

“Adli, kau kena cuba. Lia boleh bantu kau naik. Sampai bila kau nak kerja kat kilang ni. Kau ada bakat. Kau ada rupa. Ini masanya kau menonjolkan diri kau”. Masih terngia-ngia suara Adam Haziq, sepupunya yang merupakan kawan rapat Syamsul Adli menasihati Syamsul Adli dua tahun yang lalu.

Rose Camelia masih jelas dengan keadaan Syamsul Adli ketika itu walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu. Wajah Syamsul Adli yang kurus itu dipandang penuh minat. Bersilih ganti dengan rupa Adam Haziq yang tidak jemu-jemu memujuk  kawan karibnya itu. Rose Camelia merenung wajah yang pernah menjadi pujaan dirinya sejak dulu lagi. Sejak mereka masih bergelar pelajar Universiti. Walaupun berlainan jurusan, tetapi mereka sering lepak bersama.

“Sampai bila kau nak jadi macam ni Ad? Sampai bila kau nak jadi macam patung bernyawa ni. Sampai bila kau nak biarkan kenangan silam menghantui kehidupan kau.  Aku tengok kau ni dah macam orang sasau tau tak.  Sudahlah kurus, macam penagih dadah dah aku tengok kau ni Ad. Wake up bro!”  Gertak Adam Hariq.

“Jangan duduk didunia kau sendiri boleh tak?. Kau kena tengok apa yang ada disekeliling kau” Adam Haziq berpewatakan lemah lembut tetapi kalau sesekali bercakap, memang agak pedas dan kasar. 

Syamsul Adli menudukkan wajahnya memandang lantai. Keadaan dia masih seperti tadi, hanya tunduk membisu mendiamkan diri. Adam Haziq merengus kuat.  Hatinya sakit! Lelaki itu sudah jauh berubah. Syamsul Adli yang dikenalinya memang seorang yang agak pendiam.  Tetapi bukan tiga kali ganda pendiam macam sekarang. Semenjak gagal dalam percintaan dan gagal dalam pelajaran, dia tidak seceria seperti dulu. Dia hanya leka dengan dunia ciptaannya sendiri.

Rose Camelia rimas melihat Adam Haziq yang mundar mandir didepannya.  Serba tidak kena.  Mungkin hati Adam Haziq terkilan dengan perubahan Syamsul Adli. Berubah menjadi seorang yang pasif. Dunianya hanya rumah dan kilang. Setiap kali kawan-kawan mengajak dia keluar dihujung minggu, berpuluh malah beratus alasan diberikan. Alasannya mahu bekerja keras membantu keluarga.  Berapa sajalah gaji bulanan yang berjaya diperolehi sebagai operator di kilang ini. Cukup-cukup makan!

Nafas Haziq turun naik menahan geram dan bosan yang teramat sangat. Menyirap darahnya bila setiap pertanyaanya tidak dibalas oleh Syamsul Adli. Walau dengan sepatah perkataan pun. Macam orang pekak dan tidak faham bahasa. Adam Haziq bingkas bangun dan menonong menuju ke sisi Syamsul Adli. Adam Haziq terus menarik kerusi lalu menghempaskan pungungnya di kerusi sebelah Syamsul Adli. 

Mujur waktu rehat sudah hampir tamat. Semua pekerja di kilang itu sudah beransur untuk memulakan tugas. Cafeteria kilang sudah sunyi sepi. Hanya pekerja cafeteria saja yang lalu lalang untuk mengemaskan meja. Adam Haziq dan Rose Camelia masih tidak mahu berganjak.  Mereka masih setia menunggu Syamsul Adli memberikan jawapan.

“Aku cuma nak bantu kau, Adli. Aku dan Lia nak bantu kau berjaya. Aku tahu kau ada bakat menyanyi, suara kau sedap dan aku yakin kau boleh pergi jauh dalam bidang seni ni dengan bantuan Lia. Please Adli, terima offer ni demi masa depan kau. Mungkin kau tidak ada rezeki dalam bidang kejuruteraan tapi mungkin kau ada luck dalam bidang seni.” Pujuk Adam Haziq lembut.  Sememangnya dia cuba berdiplomasi dengan lelaki jiwa kacau macam Syamsul Adli.

“Aku tidak berminat Adam. Aku selesa dengan kerja aku sekarang. Aku tidak berminat lansung bidang yang ntah apa-apa tu”. Akhirnya Syamsul Adli bersuara menyatakan pendiriannya.  Walaupun lembut suaranya membalas kata-kata Adam Haziq tetapi nada tersebut tetap kedengaran tegas.

“Kau ada bakatlah Adli. Kau boleh menyanyi. Aku yakin kau boleh pergi jauh. Apa kau ingat, dengan kerja dekat sini Aina Maisara, wanita yang kononnya menjadi pujaan hati kau tu akan akan pandang kau. Kirim salam bro! Sekurang-kurangnya bila kau jadi artis terkenal perempuan tu akan pandang kau. Pasti dia akan cari kau balik”. Rose Camelia tersentak. Dia beristigfar dalam hati sambil menggeleng-geleng kepalanya beberapa kali. 

Sungguh dia terkejut dengan apa yang terkeluar dari mulut sepupunya itu.  Lantas wajah Syamsul Adli dipandangnya. Wajah itu  bertukar corak. Dari tenang bertukar merah  dan muram. Selepas memandang riak wajah lelaki itu, pandangannya beralih pula ke wajah Adam Haziq. Dia merenung sepupunya itu dengan perasaan yang sukar dimengertikan. Syamsul Adli bangun.

“Apa ni Adam? Apa kau merepek ni? Kau berjanji dengan aku tak tidak akan sebut nama itu. Kau bersumpah dengan aku untuk bantu aku melupakan sebaris nama yang menghancurkan keseluruhan hidup aku. Tapi sekarang kenapa kau sebut nama itu Adam. Kenapa?” Syamsul Adli menengking dengan wajah bengis. Wajahnya garang dan penuh kebencian merenung wajah Adam Haziq.

Sangat jelas, Syamsul Adli terusik dan melenting naik angin setiap kali nama Aina Maisara disebut. Haziq terpinga-pinga menyedari ketelanjurannya. Rose Camelia hanya mampu memandang dengan dada berdebar-debar. Sikit masa lagi, pasti perperangan mulut bakal berlaku.

“Lia.. Rose Camelia”

Rose Camelia terkejut bila namanya dipanggil dengan kuat. Habis bertebaran semua kenangan dua tahun lalu. Sambil mengurut dada dia memandang arah suara yang memanggilnya dengan kuat tadi. Dari kejauhan dia melihat Azman dan Arif, pengawal peribadi Syamsul Adli berjalan ke arahnya.

“Shawn call tadi. Dia kata dia dah sampai kat basement dua”. Azman menunjuk telefon bimbitnya tanda baru menerima panggilan daripada Shawn Adli. 

Tanpa banyak soal, Rose Camelia bingkas bangun dan menyertai kedua lelaki gagah itu untuk turun ke basement dua menemui Shawn Adli. Dadanya tiba-tiba berdebar.  Berbunga-bunga seperti gadis sunti yang mahu bertemu dengan jejaka pujaan hati.


Rose Camelia tersenyum tanpa sedar.


-bersambung-