Sunday 3 November 2013

DIPLOMATIK CINTA - BAB 1


BAB 1


Suasana di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Rom yang terletak di tengah-tengah kota besar Rome tenang. Suasana kelihatan sangat romantik di tambah sekitar bangunan antik itu dikelilingi dengan pokok maple yang sudah keguguran daun.  Botak tidak berdaun. Kesemuanya tampak sangat sunyi dan tenang walaupun suhu teramat sejuk.  

Wajah Anees Mardihah serius. Sepanjang hari dia hanya duduk di pejabat tidak keluar dari bilik. Waktu rehat pun wanita tersebut tidak keluar dari biliknya.  Lagaknya seperti sedang menyelesaikan urusan penting. Qistina menjengah kelibat pegawainya itu dari sebalik pintu kaca. Kakinya ingin melangkah ke bilik ketuanya untuk menyerahkan satu dokumen penting tetapi langkahnya terbantut melihatkan wajah Anees Mardihah yang jelas kelihatan keruh.

“Qistina, what are you doing here”?. Terasa bahunya ditepuk perlahan.

“Oh My God!”.

Qistina terpempan. Suara yang menegurnya itu walaupun perlahan boleh membuatkan jantungnya gugur jatuh ke lantai. Hampir-hampir dia terduduk kerana terkejut. Sambil mengurut dada Qistina menoleh melihat wajah suara yang garau tersebut. Roberto memandangnya dengan muka penuh tanda tanya. Mungkin keliru melihat tingkah laku Qistina yang lagak penyisat upahan. Terjengah-jengah macam mencari maklumat.

“Syuhh… can you slow your voice please. I want to see Miss Anees but she  looked very busy”. Qistina masih mengurut dadanya mahu meredakan perasaan terkejut yang di alami sebentar tadi.

Jejaka Italy yang bernama Roberto tergelak kecil melihat telatah Qistina yang jelas terkejut dengan tegurannya sebentar tadi. Lelaki tersebut  yang merupakan juru terjemahan di pejabat ini memandang  tajam ke wajah Qistina. Namun sisa-sisa ketawa masih ada. Mungkin lucu dengan reaksi Qistina seperti ditegur ‘Mary’ yang  tidak berkepala. Terkejut sampai pucat muka.

“Qistina, don’t panic. It’s me Roberto. Not Mary.” Roberto mengacukan jari telunjuk ke dadanya. Seperti mahu mengatakan bahawa dirinya Roberto.  

Qistina mendengus. Bergurau pulak Roberto di tengahari buta ini. Terasa nak ditumbuk  jejaka dari Italy ini. Mujur kau handsome, Roberto. Tak sampai hati aku nak tumbuk kau, bisik Qistina perlahan sambil menjeling.

Mereka sering bergurau tentang Mary. Mary pada mereka adalah hantu yang datang berlegar-legar di pejabat ini ketika ‘halloween’ menjelang.

“Today 31 October, time to meet Mary.” itu yang sering diusik Roberto dan kebanyakkan local staff di pejabat ini.

Asal masuk bulan Oktober saja mesti Qistina bagai cacing kepanasan. Selalu dia berdoa supaya bulan Oktober tidak muncul.  Selepas bulan September biar masuk terus ke bulan November.  Memang menjadi tradisi, penduduk Italy akan meraikan perayaan malam Halloween di setiap malam 31 Oktober.  Halloween juga dikenali sebagai hari ‘All Saint Day’ memang diisytihar cuti umum di Italy ini. Menurut sejarah Halloween yang Qistina baca, gereja katolik telah memutuskan pada tanggal 1 November merupakan hari raya uuntuk menghormati para Santo dan Santa sehari selepas menyambut perayaan Halloween.

Masa mula-mula sampai di Negara yang terkenal sebagai ‘Pizza Land’ ini, Qistina memang hairan dengan sebahagian penduduk Italy yang memakai pakaian hantu dan berjalan-jalan di bandar. Malah, seringkali dia terserempak dengan kanak-kanak yang memakai costum seram dan berjalan-jalan di sekitar apartmentnya.Takut tu memang takut. Ada juga rasa hati nak bagi kasut dekat budak-budak ini tetapi walaupun takut Qistina perlu menghormati perayaan mereka.

Pernah sekali, pintu rumahnya diketuk oleh kanak-kanak Itali. Bila dibuka pintu, terpampang beberapa ‘hantu kecil’. Ada yang jadi witch, ada yang menyamar menjadi vampire.  Siap lengkap dengan darah di bibir.

Ngeri!

Mereka akan muncul di depan pintu rumah selepas pukul 10 malam sambil memegang labu yang diubah suai menjadi pelita labu. Sambil menjerit ‘Trick or Treat’, mereka meminta gula-gula atau duit. Dekat seminggu jugalah dia demam kerana terkejut.

“Cakaplah nak gula-gula, tak perlu nak pakai baju hantu dan menjerit-jerit nak takutkan orang.” Qistina tersenyum mengingati kenangan tahun lepas ketika  dia cuba menasihati kanak-kanak yang bertandang kerumahnya untuk meminta gula-gula. Marah! tetapi menggunakan bahasa Melayu.

Bijak! Qistina memang pandai.

Sumpah! Budak-budak itu tak faham. Selepas menerima gula-gula mereka beredar dengan gembira. Ini perayaan hantu ke, perayaan nak minta gula-gula.  Mujur dia ada stok gula-gula di dalam rumah.  Kalau tidak, duit melayang.

Pelik tapi benar.

“I see. Why not you just knock the door and meet her”. Qistina tersentak.

Habis bertebaran kenangan tentang Halloween. Wajah Roberto dipandang sebelum tergelak melihat telatah Roberto yang berlakon mengetuk pintu bilik bagaikan dia tidak tahu macam mana cara mengetuk pintu bilik.

"Kau ingat orang Malaysia ni tidak ada adab ke main redah tak ketuk pintu." Qistina membebel perlahan dalam bahasa Melayu. Mujurlah Roberto tidak tahu lansung berbahasa Melayu. Kalau tidak, dia lah orang pertama yang kena kutuk.

“It’s ok. I think she’s really busy. I will meet her later. Hah! And you, what are you doing here?” Qistina memandang tepat ke wajah Roberto.

Jejaka berkulit cerah dan memiliki sepasang mata berwarna hijau memang tersangat tampan pada pandangan mata Qistina. Sekali pandang seperti pelakon kacak Keenu Reeve. Sungguh indah ciptaan Allah.

Qistina berasa tersangat gembira ditugaskan ke negara ini. Boleh berjumpa dengan makhluk indah ciptaan tuhan. Ada kalangan rakannya menyatakan bahawa wanita yang cantik, halus kulitnya serta indah warna matanya adalah datangnya dari Itali. Kebanyakkan lelaki Itali pula boleh tahan hot and spicy, kata mereka.Oleh kerana itu, ramai model datangnya dari negara ini.

Qistina tersengih bila menyedari kegatalan yang tidak semena-mena. Berkhidmat dengan Pejabat ini membuatkan Qistina merasakan dirinya sangat-sangat bertuah kerana dengan peluang yang ada, dia dapat mempelajari budaya, gaya hidup, makanan tempatan malah orang dari Negara Itali.

Sekali lagi Qistina tersentak bila layangan surat yang dikipas kemukanya. Terus tersedar dari lamunan singkat. Roberto yang mengibarkan surat tersebut tersengih-sengih memandangnya.

“I want give you this letter. I already translate to English”. Roberto memberikan penjelasan.

Nyata tujuan Roberto masuk ke aras yang dikhaskan untuk Home Based Staff ini adalah untuk menyerahkan surat yang diminta Qistina untuk diterjemahkan. Berurusan dengan beberapa agensi kerajaan di Itali ini bukanlah mudah. Semua surat mesti di terjemahkan daripada bahasa Italian kepada bahasa Inggeris kerana Bahasa utama di Negara Itali bukanlah bahasa Inggeris. Ini menyukarkan foreigner untuk berurusan terutama pekara yang melibatkan surat menyurat.

Surat bertukar tangan. Selepas menyerahkan surat tersebut Roberto keluar dari biliknya.

Kebiasannya Qistina akan mendaftarkan surat tersebut terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada Dato’ Hashim Ahmad iaitu Duta Besar Malaysia di Rome, Italy. Tugasnya sebagai setiausaha perlu cekap dan pantas. Sebaik menerima semua dokumen, dia seharusnya mendaftarkan semua dokumen tersebut sebelum membuat dua salinan. Dokumen asal akan diberikan kepada Duta Besar dan salinan pula akan diserahkan kepada Anees Mardihah selaku ketua Canseri di Kedutaan tersebut.

Tetapi, oleh kerana sekarang Dato’ Hashim Ahmad tidak berada di Italy kerana bercuti rehat di Malaysia. Maka segaala urusan pejabat harus diserahkan kepada Cik Anees Mardihah. Segala dokumen dan maklumat akan diserahkan kepada pegawainya itu supaya tindakan segera dapat dilakukan. 

Qistina kembali berdiri dan menjenguk dari ruangan kaca biliknya ke pintu utama bilik Anees Mardihah. Bilik Ketua Canseri berhadapan dengan bilik Pembantu Khas Duta. Ini memudahkan Qistina melihat keadaan Anees Mardihah. Kali ini dia nekad untuk menyerahkan semua dokumen walaupun Aness Mardihah kelihatan begitu sibuk.  

Qistina bingkas bangun menuju ke bilik Ketua Canseri.  Kalau di Pejabat Kedutaan, gelaran Ketua Canseri diberikan kepada pegawai kanan yang ditugaskan menjaga hal ehwal pejabat Kedutaan.  Apa saja yang berkaitan dengan urusan pentadbiran pejabat Kedutaan, Anees Mardihah perlu ambil tahu.
   
Daun pintu diketuk perlahan. Senyap tiada jawapan. Qistina mengetuk pintu buat kali kedua, masih seperti tadi. Kali ini Qistina nekad menolak daun pintu.

“Good afternoon Cik Anees”

Aness Mardihah tersentak. Hampir terpelanting pen yang sedang dipegangnya. Pandangan mata menjurus ke pintu biliknya dan kelihatan Qistina, pembantu khas Duta Besar sedang tersengih-sengih memandangnya.

“Hah! Selamat tengahari Qis. Dah tak reti nak ketuk pintu dan bagi salam dulu ke”. Tempelak Anees Mardihah.  Matanya dicerlungkan. Namun sesaat kemudian,  secalit senyuman tetap dilemparkan kepada Qistina.

“Ala Cik Anees ni kan, saya dah ketuk banyak kali la. Cik Anees tu yang mengelamun.  Teringatkan boyfriend kat Malaysia la tu”. Sebaik mendengar usikan Qistina, Anees Mardihah menjengelkan matanya. Kurang gemar dengan usikan Qistina. 

Pembantu khas duta ini selalu menjeratnya dengan soalan yang melibatkan perasaan. Bukan dia tidak suka berkongsi cerita, tetapi sememangnya dia tidak ada cerita yang mahu dikongsikan.

“Ayoyoyo… maafkan saya Cik Anees. Jahatnya mulut saya ni. Nanti saya tampal dengan plaster ya kasi diam”. Tindakan spontan Qistina yang menampar bibirnya dengan perlahan mencuit hati Anees Mardihah. Dia tahu Qistina cuba membuat lawak.

“Awak ni Qis, tak habis-habis buat lawak. Hah! Duduk”. Lembut suara Anees Mardihah memberikan arahan.  Sekarang dia sudah boleh menarik nafas lega. Risau sangat kalau Anees Mardihah terasa hati dengan usikannya sebentar tadi.

Wajah Anees Mardihah diamati. Sememangnya wanita itu mempunyai kulit yang halus mulus. Sudahlah mulus, putih melepak pulak tu. Rambutnya yang panjang mengurai tidak pernah dibiarkan lepas. Samada di ikat satu ataupun disanggul tinggi. Aset utama Anees Mardihah adalah sepasang mata bundar yang cantik menawan.  Jarang anak Melayu mempunyai warna mata cokelat cair. Selalu yang biasa dia temui, hitam pekat atau cokelat gelap.

Anees Mardihah sangat pandai bergaya. Dia akan kelihatan sangat ayu menawan bila memakai baju kurung dan akan bertukar sophisticated bila mengenakan suit.  Samada memakai blazer dengan skirt paras lutut atau berseluar panjang. Memang gaya seorang Pegawai Diplomat.

“Sudah habis telek muka saya, Qis? Ada apa-apa yang kurang? Nak buat pembedahan hidung kasi mancung atau nak tegangkan pipi supaya lebih nampak muda.” Qistina tersipu-sipu. Mukanya merah. Malu diusik wanita dihadapannya. Entah dimanalah mukanya hendak disorokkan.

“Cik Aness tau tak yang Cik Anees ni cantik sangat.”

Sebaik sahaja Qistina menghabiskan ayatnya itu, Aness Mardihah sudah ketawa perlahan.  Seolah-olah Qistina baru selesai menceritakan satu kisah jenaka.  Dengan ketawanya yang masih bersisa, Anees Mardihah merenung wajah Qistina.

“Awak ni Qis. Kalau hendak buat lawak pun bukan di sini ya. Sila masuk pertandingan raja lawak.  Berbanding saya, awak lagi comel lote tau.  Tambahan darah campuran yang ada dalam diri awak tu.  That’s priceless.”  Wajah Qistina sudah berubah merah. Malu dengan usikan Anees Mardihah.

“Betul Cik Anees. Muka macam Cik Anees ni kalau masuk pertandingan ratu cantik, confirm menang punya.” Anees Mardihah meletakkan pen yang sedang dipegangnya di atas meja.  Matanya tepat memandang Qistina.

Right Qistina, you’re totally right. Sebab cantik sangatlah saya duduk di atas kerusi ni dan di dalam bilik ini. Bukannya di atas pentas peragaan atau di hadapan kamera.”  Anees Mardihah tersenyum manis menantikan reaksi Qistina.

Qistian termalu sendiri. Bila pegawainya sudah berkata-kata sarcastic maknanya dia harus menghentikan gurauan ini.  Anees Mardihah memang banyak ‘akal’ untuk membidas usikan demi usikan yang ditujukan kepadanya.  Memang sikap Anees Mardihah tidak gemar pada pujian. Satu lagi sikap ketuanya yang amat disenangi.

Qistina amat selesa bekerja di bawah Anees Mardihah. Walaupun wanita itu merupakan ketuanya, namun sikap Anees Mardihah yang suka  bergurau dan bersederhana membuatkan dia disukai ramai. Tambahan Anees Mardihah tidak  pernah memandang pangkat sebagai jarak pengukur antara dirinya dengan pegawai bawahan. 

“Oklah, saya rasa Silvia lagi cantik dari kita berdua.”  Sebaik saja menutur kata-kata tersebut, Anees Mardihah dan Qistina ketawa bersama.  Ada lawak dalam kata-kata Qistina.  Silvia yang merupakan kerani kewangan di pejabat ini seorang wanita yang agak ‘comel’ fizikalnya.  Walaupun bersaiz agak besar tetapi kulitnya yang halus memang selalu menarik perhatian ramai.

"I ate salad with olive oil, fruits and drink a lot of plain water" Kata Silvia setiap kali ditanya apakah rahsianya untuk mendapatkan kulit yang halus dan cantik.  Makan salad?  Daun-daun hijau? Makan macam kambing.  Oh! please, tidak ada siapa pun manusia bertekak melayu akan ikut nasihat itu.

“Setuju.  Saya pun rasa Silvia lagi lawa dari kita berdua. Tak abis-abis awak ni kan Qistina. Hah! Ada apa pesanan untuk saya ke?” Qistina tersentak lantas mati senyumannya itu. Terlupa dengan tujuan asalnya masuk ke bilik Anees Mardihah

“Ya Allah, saya lupa la Cik Anees.   Saya ada terima satu e-mail penting pagi tadi.” Qistina menghulur satu kertas putih yang bercetak.

“E-mail penting? Dari siapa?”  Anees Mardihah memandang wajah Qistina sambil menyambut kertas yang dihulurkan kepadanya.

“Daripada satu syarikat penerbitan filem Malaysia. Mereka bercadang hendak membuat pengambaran filem di sini Cik Anees. Tu yang mereka tulis email kat kita nak minta pandangan dan cadangan apa yang mereka harus lakukan bagi menjalani  pengambaran di Rome ni.” Anees Mardihah mengangguk tanda faham apa yang disampaikan oleh Qistina. E-mail yang berada ditangannya dibaca dan diteliti.

Anees Mardihah mengeluh perlahan.

“Mereka mahu datang ke sini bulan depan ya.  Bukan ke kita ada official visit daripada Universiti Putra Malaysia Qistina?.” 

“Ya Cik Anees.  14 – 20 November kita ada Official Visit dari Universiti Putra Malaysia.” Qistina terus mengangguk laju bagi menjawab pertanyaan Anees Mardihah.

Anees Mardihah terdiam. Memikirkan cara terbaik untuk membantu kru produksi filem dari Malaysia itu.  Mengikut detail di dalam e-mail, mereka bercadang untuk datang ke Rome pada 15 November.  Ini bermakna, lawatan mereka akan bertindih dengan lawatan rasmi daripada Universiti Putra Malaysia.  Dia harus memikirkan cara terbaik untuk membantu semua urusan kedua-dua lawatan tersebut agar berjalan dengan lancar.

Ini tugasannya disini.  Walaupun sibuk dengan tugasan utama iaitu menjaga urusan bilateral dan multilateral antara kedua buah negara Malaysia dan Itali, namun tugasan yang melibatkan rakyat Malaysia harus juga di ambil perhatian.   Tanggungjawabnya sebagai penjawat awam perlu di laksanakan dengan penuh cekap dan intregriti.  Tambahan pula, dirinya sudah diberi tanggungjawab dan kepercayaan oleh kerajaan Malaysia untuk menjaga hubungan diplomatik antara kedua buah negara.

Tidak mengapalah Qis, saya akan bawa pekara ini kepada Dato’.  Nanti saya call dia.  Apa tindakan selanjutnya biar Dato’ yang buat keputusan.” Qistina patuh. Lantas dia bangun untuk memberi peluang kepada Anees Mardihah mengkaji isi kandungan surat tersebut.  Sampai di pintu bilik, Qistina berpaling memandang Anees Mardihah.

“Cik Anees tau tak?”  Anees Mardihah tersentak.  Hampir hendak terkeluar jantungnya. Sangkanya Qistina sudah keluar dari biliknya.

“Tahu apa Qis oiii!”

“Cik Anees tau tak, saya sebenarnya ada baca blog gossip tau.  Pelakon lelaki yang nak mai sini adalah pelakon paling hot Malaysia. Handsome bak hang. Teruja cheq.. teruja.” Qistina melonjak-lonjakkan badannya.

Akhirnya sikap keanak-anakkan Qistina terserlah. Dialek penang anak mami tu sudah terkeluar. Anees Mardihah ketawa melihat sikap ‘tak pandai cover’ Qistina. Kepalanya digeleng bila melihat keletah gadis genit itu.  Inilah sikap sebenar Qistina.  Mudah lupa diri bila teruja.

Walaupun sudah bertunang tetapi sikap gadis itu masih keanak-anakkan. Entah bilalah hendak berubah jadi dewasa. Mengenali gadis itu lebih dua tahun membuatkan Anees Mardihah sudah tahu ‘rentak’ gadis itu. Dia sangat menyenangi Qistina. Disebalik bersikap agak kelam kabut, Qistina amat komited dengan kerjanya  serta mudah memberikan kerjasama. Segala apa yang diarahkan akan dilaksanakan sebaik mungkin.

Contoh pembantu yang baik.

“Hai, sudah pandai nak curang ke Qistina?” Pertanyaan Anees Mardihah membuatkan Qistina tersipu-sipu. Tersedar dengan sikapnya yang over-acting.

“Bukan macam tu Cik Anees.  Saya ni cinta mati dengan encik tunang saya tu tapi dengan pelakon lelaki ini, boleh dikatakan cinta tidak kesampaian,”  Qistina ketawa.

“Dia ni Cik Anees, boleh dikatakan jejaka idaman Malaya. Kacak, berbudi bahasa dan the way dia bercakap tu, Ya Allah boleh cair Cik Anees. Mesti gementar punya kalau berdepan dengan dia. Satu pakej yang lengkap. Tip top. ”. Qistina menaikkan ibu jari kanannya tanda lelaki yang dimaksudkan adalah yang terbaik.

“Ya Allah boleh cair Cik Anees tu awak maksudkan saya ke yang akan cair Qis?” Anees Mardihah menjungkitkan keningnya.  Senyumannya mati.  Sebaik mendengar kata-kata Anees Mardihah, Qistina menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Eh! Aku Silap cakap ke, bisik hati Qistina.

Serentak dengan itu,  Anees Mardihah ketawa agak kuat. Dia sedar yang dia telah berjaya mempermainkan Qistina.

“Haiss Cik Anees ni.  Janganlah buat lawak macam tu. Saya ingat Cik Anees marah tadi. Nasib baik jantung saya tak jatuh tau.  Kalau jatuh siapa nak bertanggungjawab kalau jantung saya rosak?” Anees Mardihah menghabiskan sisa-sisa ketawa.

“Tapi memang betul Cik Anees.  Saya yakin kalau Cik Anees bertemu dengan pelakon tu mesti cair punya.  Opah saya pun cakap, dia ni handsome ala-ala lelaki melayu terakhir. Mata dia tu, haih… menawan sungguh” Qistina menggenggamkan kedua belah tangannya dan membawa tangan itu ke dada. Matanya dipejamkan. Reaksinya seperti membayangkan yang situasi yang indah. 

Reaksi spontan daripada Qistina mencuit hati Anees Mardihah. Reaksi muka Qistina yang tadi terkejut telah bertukar ke reaksi tergoda. Macam-macam perangai! Kacak benarkah jejaka yang bergelar pelakon itu sehinggakan Qistina yang sudah bertunang pun tidak senang duduk dibuatnya. Hai, ada-ada sajalah Qistina ni. Tetapi mungkin juga kacak pada pandangan peribadi Qistina.  Semua orang bebas membuat pilihan.

Siapa lelaki yang Qistina maksudkan? Dia sendiri tidak pernah kenal mana-mana pelakon Malaysia. Sejak bertahun duduk di luar negara, segala perkembangan industri seni tanah air memang tidak pernah dia ambil peduli. Siapa pun lelaki itu, sememangnya lelaki itu amat bertuah kerana telah bertambah seorang lagi peminat setia walaupun peminat itu jauh beribu kilometer dari Malaysia.

“Cik Anees!”

Anees Mardihah tersentak. Dia tidak terdaya melayan naluri kewanitaannya yang mengalamun jauh.  Dia terpinga-pinga seketika. Qistina yang berdiri berhadapan dengnnya tersengih-sengih. Sah! Aku mengalamun, bisik hati kecil Anees Mardihah. Malu tidak perlu diungkap la.

“Cik Anees, saya keluar dulu ya.  Kalau Cik Anees nak tahu siapa pelakon lelaki tu, silalah Google.  Namanya Syamsul Adli atau nama komersialnya Shawn Adli.  Ejaannya S.H.A.W.N  A.D.L.I, Shawn Adli” Qistina mengeja satu persatu.  Sebelum keluar, sempat dia mengenyitkan matanya.



Shawn Adli?


- Bersambung-


Saturday 2 November 2013

DIPLOMATIK CINTA - PROLOG



PROLOG


Kuala Lumpur Conversation Center sesak. Sana sini ruang di dalam bangunan itu dipenuhi manusia yang tidak putus-putus keluar masuk. Dari kedudukannya berdiri dapat dia saksikan bangunan kedua tertinggi di Malaysia kelihatan tersergam indah dan gagah. Syamsul Adli melihat jam tangan jenama Swatch entah buat kali yang ke berapa. Jam tepat pukul 5 petang. Ini bermakna sudah hampir 4 jam, Syamsul Adli menunggu disitu.

“Bagai menunggu buah yang tidak gugur”. Bisik hati Syamsul Adli.

Matanya merenung ke pintu masuk bangunan KLCC ini. Puas menoleh kiri dan kanan mencari kelibat insan yang ditunggu, Syamsul Adli mengambil telefon bimbit dan pantas mendail. Seperti tadi, panggilannya tadi masuk ke peti suara. Syamsul Adli mencongak dalam hati. Kalau dia singgah di perpustakaan universiti Malaya dalam perjalanan ke situ tadi, masih sempat. Peperiksaan akhir tahun sudah semakin hampir. Banyak mata pelajaran yang harus diberi perhatian agar dia tidak gagal di dalam peperiksaan akhir nanti.

Jurusan Kejuruteraan Awam adalah salah satu dari empat cabang utama bidang kejuruteraan dan jurusan ini bukanlah satu jurusan yang boleh dipandang ringan. Setelah hampir 3 tahun dia bergelumang dengan subjek kejuruteraan yang menggabungkan matematik dan sains dalam merekabentuk, membina dan terbabit dalam projek pembinaan berskala besar ketika menjalani latihan praktikal di syarikat pembinaan terkemuka, baru kini dia tahu betapa mencabarnya bidang tugas sebagai seorang Jurutera Awam.

Patutlah, semua Jurutera digelar individu bertenaga pakar.  Mereka dari golongan yang professional. Seorang Jurutera Awam bukan saja perlu menitikberatkan isu keselamatan struktur binaan, tetapi perlu memandang isu kesan pembinaan terhadap alam sekitar.  Dia ingin menjadi seorang Jurutera Awam kerana merasakan tugas seorang Jurutera sesuai dengan dirinya yang gemarkan cabaran.

Muka diraup pantas. Suhu panas petang hari tidak dapat melawan panas membahang hatinya sekarang. Syamsul Adli merenung bangunan tinggi itu tajam. Semakin direnung, semakin pedih hatinya. Terasa mahu dibawa keluar hatinya itu di campak ke dalam kolam air pancut KLCC ini. Tapi apakan daya, hasrat dihatinya itu adalah hasrat yang paling mengarut. Gila! Ini bukan hasrat apatah lagi harapan. Tapi ini bunuh diri namanya.

Syamsul Adli mengeluh untuk kesekian kali sebelum menoleh ke arah gazebo yang bertentangan dengan tempatnya menunggu. Kelihatan sepasang suami isteri yang sedang berlari mengejar anak kecil yang bebas berlari sambil ketawa mengekek-ekeh. Suka sangat bila dikejar. Sedikit sebanyak hati Syamsul Adli terhibur.

Dia umpamakan anak kecil tersebut seperti dirinya lima tahun yang lalu. Sama seperti kanak-kanak itu, dia pernah mempunyai perasaan gembira ketika ‘mengejar’ AinaaMaisara untuk dijadikan teman istimewanya. Mengingati sebaris nama itu, perasaan yang panas tadi tiba-tiba sejuk. Sebaris nama yang menjadi kesayangan dia. Pemilik nama yang ditunggu sejak 5 jam yang lalu. Dia benci menunggu sebenarnya. Tetapi, demi Ainaa Maisarah, dia sanggup lakukan apa saja. Masakan tidak sanggup, Aina Maisara cinta pertamanya. Cinta pertama yang terhasil daripada cinta pandangan yang pertama.

“Love at the first sight is easy to understand, it’s when two people have been looking at each other for a lifetime that it becomes a miracle.”

Ajaib dan mempersonakan. Entah dari planet mana datangnya sang bidadari  yang tiba-tiba berjaya menarik perhatian bukan sahaja ‘menangkap’ pandangan matanya tetapi juga mencuri hatinya. Sejak terpandang raut wajah Ainaa Maisarah lima tahun lalu membuatkan Syamsul Adli nekad untuk memilik gadis itu.

Dan kini, dia bahagia. Sekeping hati milik Aina Maisara Raduan telah berjaya dia miliki. Mengenali Aina Maisara selama lima tahun, Syamsul Adli sudah boleh meletakkan perhubungan ini adalah perhubungan kasih yang pertama dan terakhir buat dirinya. Percintaannya dengan Aina Maisara merupakan perhubungan yang membahagiakan. Aina Maisara merupakan anugerah terindah kurniaan Ilahi.

Ini bukan soal untung atau tidak. Bukan soal nasib baik atau sebaliknya. Aina Maisara yang bermata bundar, berhidung sederhana mancung dan berkulit putih melepak merupakan sebuah impian yang nyata. Dia berhasrat memperisterikan Ainaa Maisarah sebaik saja menamatkan pengajian. Tidak dapat dibayangkan betapa meriah majlis perkahwinan mereka nanti. Perkahwinan yang mendapat restu semua pihak.

Pasti ramai yang mencemburui dirinya kerana berjaya memperisterikan Aina Maisara.  Maunya tidak cemburu, bakal Doktor paling cantik di dalam Fakulti perubatan Universiti Malaya. Sememangnya dia teramat bertuah. Syamsul Adli tersenyum sambil berangan. Angan-angan mak jenin. Semua orang boleh berangan. Tetapi adakah angan-angan dia bakal menjadi kenyataan.

Aku akan pastikan menjadi kenyataan, janji Syamsul Adli dalam hati sambil menggenggam erat tangannya.




- Bersambung-